3 Julai 2019

Rahsia Doa Dikabulkan





Doa
Dalam hidup seorang manusia tidak dapat tidak doa merupakan salah satu kewajipan yang perlu dilakukan. Doa merupakan harapan seorang hamba terhadap tuhanNya.  Tanpa doa hidup ini pasti akan terasa sunyi, dengan berdoa seorang hamba sebenarnya sedang berbisik-bisik dengan tuhan-Nya ibarat seorang kekasih yang sedang kerinduan, dicurahkan segala isi hati dan harapan. Natijahnya akan menjadikan hati seorang hamba itu tenang dan hampir dengan penciptaNya.

Namun harus diingat ada sebahagian doa yang kadang tidak terangkat ke langit malah sekadar melepasi anak tekak sahaja. Lalu ia hilang bagai ditiup angin lalu, ini bukanlah kerana Allah Tuhan yang Maha Pemurah dan mengabulkan doa itu membenci hambanya, tetapi si hamba yang telah menzalimi dirinya sendiri lantaran itu doanya tidak terangkat.

Pun begitu ada doa yang naik kelangit bagaikan cahaya yang memancar lalu singgah ke ribaan Allah swt. Doanya diterima dan diperkenankan oleh Allah. Bagaimana ini boleh terjadi? Adakah ada rahsia bagi mencapai maksud ini. Ya! sudah pasti ada caranya, dan caranya telah dikhabarkan kepada kita dari lidah Nabi kita yang mulia Nabi Muhammad saw.

Salah satu cara untuk menjadikan doa kita mudah diperkenankan ialah dengan berdoa menggunakan nama-nama Allah. Di antara nama-nama ini pula ada yang dikhususkan yang baginda nabi sebut sebagai Ismullah  al a’zom ( nama-nama Allah yang agung) walaupun begitu ada sebahagian ulama berpendapat kesemua nama-nama Allah adalah Ismullah al a’zom.

Apa itu Ismullah al a’zom? Ismullah al a’zom ialah nama-nama Allah yang Agung yang mana jika seseorang hamba memohon dengan menyebut namanya pasti Allah akan mengabulkan doanya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dibawah ini:

. عن بُرَيْدَةَ بنِ الحُصَيْب أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلا يَقُولُ " اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ الأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ " ، فَقَالَ : ( لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ ) .
رواه الترمذي (3475) و ابو داود (1493) ابن ماجه (3857) و صححه الألباني في صحيح أبي داود

Dari Abu Burdah sesungguhnya Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam mendengar seseorang berdoa, ‘Ya Allah, sesungguhnya saya memohon kepada-Mu. Sesungguhnya saya bersaksi bahwa Engkau  adalah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau Yang Maha Esa, Tempat meminta segala sesuatu. Tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatu yang sebanding dengan Dia.’ Maka baginda bersabda, ‘Sungguh anda telah meminta kepada Allah dengan nama yang kalau diminta akan diberikan, kalau berdoa akan dikabulkan.’ HR. Tirmizi, 3475. Abu Dawud, 1493. Ibnu Majah, 3857 dishohehkan Al-Albany di Shoheh Abu Dawud. Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, ‘(Hadits) ini yang lebih kuat dari sisi sanad dari semua yang ada tentang itu.’ Fathul Bari, 11/225.

Inilah antara rahsia atau kunci agar mudahnya sebuah doa itu dikabulkan oleh Allah swt, iaitu dengan menyebut nama-nama-Nya. Pilihlah nama-nama Allah swt yang saudara dan saudari inginkan mengikut keperluan dan hajat masing-masing. Zikirlah nama-nama yang indah itu lalu berdoalah dengan menyebut namaNya. Semoga Allah memperkenankan permohonan kita selaku hamba yang sangat berhajat.

Akhir kalam selamat membaca artikel ini. Semoga ianya memberi manfaat yang banyak kepada semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pakaian Tradisional

Sumber Google Baju Melayu Ternyata hari ini baju Melayu yg diubahsuai tidak lagi mencerminkan pemakainya. Malah identiti bangsa itu...