31 Julai 2019

Lari


Malam itu entah bagaimana aku telah berada di situ.  Di keliling oleh lima orang yang tidak aku kenali mereka merenung tajam menanti masa yang sesuai untuk membuat serangan. Itu yang aku dapat baca dari riak wajah mereka.  

Aku terus bersiap siaga berdiri tegak, mengatur nafas dan mula membaca gerak dan langkah itu petua yang aku pelajari dari Pak Guru. Tetapi kegusaran mula menyapa benak ku apabila  petua baca langkah yang telah aku kuasai seperti tidak berfungsi.

Ternyata yang mengelilingi aku ini bukan sebarangan orang, pergerakan mereka begitu pantas  silang menyilang antara satu sama lain sekejap di depan sekejap di belakang juga di kiri dan kanan mereka bergerak persis bayang bayang.

Aku mula cemas, firasat aku mula kuat merasakan ini bukan manusia. Aku mula berkuda-kuda dan mengatur langkah  tidak lagi berdiri tegak sepeti tadi, itu juga petua yang  Pak Guru turunkan jika musuh seperti cacing kepanasan, semakin lama semakin pantas aku bergerak mengatur langkah dan tapak sambil membaca peregrakkan lawan. Aku mula berjinjit-jinjit agar pergerakan boleh diatur dengan pantas. 

Namun musuh juga semakin pantas bergerak.  Dalam kelekaan yang tidak terjangka salah seorang dari mereka mula menerpa menyerang aku. Terkejut dengan serangan yang mendadak itu aku mengelak ke bahagian dalam membuat pukulan disendi bahu kanan dan kiri musuh terus menjunam ke bawah membuat lagi pukulan di sendi atas lutut kanan dan kiri lantas aku bangun membuat tendangan juring ke dada musuh. 

Musuh tadi terpelanting ke belakang, terguling sekali dua , tetapi apa yang berlaku menyebabkan aku betul-betul kaget musuh yang terlentang bangun berdiri tegak, sambil merenung tajam ke arah ku seperti tiada apa apa yang berlaku.

Perasan aku mula berkecamuk mustahil langsung tiada kesan dan tiada sakit.  Aku mula mengatur langkah kembali, tetapi kali ini aku telah mengubah keputusan aku akan melarikan diri dari medan perkelahian ini.  

Dalam kesempatan yang tidak dijangka aku dapat membolos diri dari kepungan musuh, Aku lantas berlari kencang untuk menyelamatkan diri tetapi baru sahaja tujuh depa dari kawasan pergelutan aku berhenti.  Memandang ke belakang rupa-rupanya aku bukan keseorangan dalam pertarungan tersebut. 

Ketika itu, baru aku sedar sejumlah sahabat handai aku dari gelanggang Tok Jenai  sedang berkecamuk dalam pergaduhan itu.  Aku serba salah. "Tidak mungkin aku meninggalkan mereka" itulah kata hati kecil ku. 

Lantas aku mengambil keputusan untuk kembali ke gelanggang pertarungan ketika itulah  aku terpandang sebatang simbat berwarna keemasan di hadapan mata lendir ku. Tanpa berfikir panjang aku lantas menyambar simbat tersebut dan berlari kencang ke kawasan pertarungan, sungguh! hati ku gelisah memikirkan nasib sahabat handai ku. 
“Kalau hendak mati biar mati sama-sama” itulah jeritan suara hatiku. 

Sebaik sahaja aku merempuh masuk kemedan pertarungan, aku telah di kepung kembali, tetapi kali ini aku nekad untuk mula menyerang terlebih dahulu. Pantas aku melompat tinggi dan melibas salah seorang daripada mereka, hanya sekali libas kali ini musuh jatuh tertiarap dan menjerit sambil mengelupur seperti ayam yang baru disembelih. Aku tiba-tiba hilang pertimbangan aku mula melompat dan memijak belakang musuh sambil simbat emas di tangan ku, ku pukul musuh berkali-kali sehingga tidak bergerak lagi.

Dalam deru nafas yang tidak teratur. Aku lihat musuh sudah tidak bergerak, yang lain mula teragak-agak untuk menyerang ku, ada yang terundur ke belakang dan ada yang telah mula mengatur langkah seribu meninggalkan aku.

Di saat itu tiba-tiba aku terpelanting kebelakang seperti di sedut oleh sesuatu. Begitu pantas dan laju. Semakin lama semakin kecil kawasan pertarungan dari mata ku...

Mata


Allah mencipta kepada manusia dengan dua butir biji mata. Kata cerdik pandai.

Sebiji mata melihat kebaikan orang lain.

Sebiji mata lagi melihat keburukan diri sendiri.

Mata, kesilapan menggunakan mata boleh mendatangkan dosa namun dengan mata juga boleh memadamkan api neraka itulah mata yang menangis kerana bertaubat di atas dosa².

Mata juga boleh memandang  dengan penuh hina

Mata juga boleh memandang dengan perasaan kasih sayang

Mata juga boleh menunjukkan kesombongan

Mata juga boleh mengatakan pembohongan

Mata juga boleh mengambarkan keikhlasan

Mata juga boleh mendatangkan kebaikan.

Oleh kerana itu pergunakanlah mata ke jalan sepatutnya.

Jiwa



Apabila jiwa dibawa ke medan pertempuran.

Apabila Lela Rentaka disediakan.
Apabila keris Terasik Rama
dimandikan.
Apabila Pedang Cura Si Manjakini di jadikan sempadan.

Apabila selempang Bismillah enam di sarungkan.
Apabila sumpah sudah dilafazkan
Tiada lagi jalan pulang.

Melainkkan membawa kemenangan atau Syahid di bawah langit Tuhan.

#kotalarangantuah
#jebatdracula

Sajak ini juga ada di dalam sebuah buku antologi  sajak bertajuk Meracik Purnama
Saya antara penulis di dalam buku tersebut.


26 Julai 2019

HADIAH



Gambar: sumber Google

Hadiah

Selepas puas bertari silat. Hang Tuah kembali berdiri. Mengawal kembali aturan pernafasannya.

Kain sampin yang mengikat pinggangnya ditanggalkan lalu dipegang dan direnung sesekali Hang Tuah meletakkan kain itu berdekatan indera baunya.

Bau harum yang ada pada kain itu tidak pernah berkurangan. Malam yang mencekam sunyi ini membawa deras ingatan Hang Tuah pada guru yang disayangi.

Puteri Oksoo dan Sawol yang tadi kelihatan cemas mula kembali tenang mereka duduk berdekatan sambil mata-masing-masing tidak lepas menatap kelakuan pelik Laksamana Melayu yang terbilang itu.

Puncak Gunung Ledang.
---------------------------------
" Anakanda Tuah dan Jebat. Malam ini merupakan malam-malam akhir kita bersama di sini. Sudah hampir kesemuanya segala keilmuan ku, aku ajarkan kepada kamu berdua.

Sudah begitu dekat masa untuk kita berpisah dan kamu berdua akan sama-sama berkhidmat pada Raja di bumi berdaulat ini"

Seketika Pendita Adi Putera membuka sebuah peti kayu yang cukup indah ukirannya. Sepasang kain yang begitu cantik dikeluarkan. 

"Tiada barang  yang benar-benar berharga yang ada padaku untuk aku hadiahkan buat kamu berdua, hanya ini sahaja yang ada"

Inilah sepasang kain Limar...........


23 Julai 2019

SAHABAT



Masa Apak darjah 2 sehinggalah usia Apak mencecah 17 tahun. Apak mempunyai 2 orang sahabat banyak masa kami habiskan bersama.

Berbasikal, panjat bukit menghabiskan masa bersembang dan berbagai perkara lagi yg kami lakukan.

Namun setelah kami tamat SPM pada tahun 1996 kami terpisah membawa haluan masing² Apak sendiri terlempar jauh ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Ada sahabat Apak yang ke UITM Shah Alam dan ke UTM

Jarak yang jauh dengan sendiri merenggangkan hubungan kami. Lama masa berlalu sehingga masing² bekerjaya kami seperti telah terputus hubungan.

Baru² ini Apak kembali menghubungi mereka namun perasaan bersahabat itu tidak sebagaimana ketika kami dibangku sekolah entah tidak tahu di mana salahnya.

Inilah sedikit kisah sahabat yang sempat Apak coretkan. 

Di bawah ini sengaja Apak petik dari Kitab Bidayatul Hidayah karangan al Imam Hujjatul Islam al Ghazali rhm tentang adab bersahabat.

Berkata Imam Ghazali di dalam kitabnya

 Apabila engkau mahu sahabat makan terlebih dahulu hendaklah engkau perhatikan dua perkara

1. Cara memilih sahabat
2. Cara menunaikan hak-hak persahabatan (adab adab- bersahabat)

Secara ringkasnya memilih sahabat 
1. Orang yang berakal
2. Orang yang baik akhlaknya
3. Orang yang soleh
4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia.
5. Orang yang benar.



22 Julai 2019

NASI



Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, 'tidak makan nasi sehari umpama tidak lengkap hidup ini'

Oleh kerana itu Malaysia cukup terkenal dengan makanan berteraskan nasi. Jika hendak disenaraikan begitu banyak nama makanan menggunakan nama nasi.
Lihat sahaja nasi goreng, ada nasi goreng kampung, ada nasi goreng cina, nasi goreng USA walaupun yang menydiakan itu orang Malaysia dan di Malaysia pula. Nasi Paprik dan bermacam-macam lagi.

Tetapi ada satu jenis nasi yang tidak dijual di mana-mana kedai di Malaysia ini iaitu nasi kangkang atau lebih lembut disebut nasi tangas.

Okey sebelum itu harus diketahui nasi kangkang bukanlah sebarang nasi melainkan ini adalah nasi yang bercampur SIHIR. Nasi ini dibuat bagi menundukkan para suami agar sentiasa patuh atau takut kepada si isteri.

Sihir pula hukumnya HARAM disisi agama Islam. Oleh itu nasi kangkang ini sudah tentulah haram dilakukan walaupun katanya ianya bertujuan baik agar si suami tidak berlaku curang namun dalam kaedah ilmu feqah matlamat tidak boleh menghalalkan cara.

Amalan ini juga bukan setakat menjadikan suami patuh tetapi boleh menyebabkan si suami umpama orang bodoh.

Lebih teruk daripada itu mengikut Syeikh Wahid Abd as Salam Bali sihir ini juga boleh menjadi keterbalikan  iaitu si suami akan jatuh sakit atau si suami menjadi bertambah benci hatta boleh menyebabkannya si suami membenci ibu dan saudara maranya sendiri.

Bagaimana nasi kangkang ini dilakukan tidaklah ingin saya jelaskan di sini.

Kesimpulannya untuk para isteri jangan sekali-kali melakukan hal ini (nasi kangkang) kerana dikemudian hari ianya memberi kesan yang cukup buruk apatah lagi  setelah mati dan tidak sempat bertaubat.



15 Julai 2019

ZAITUN




" Ini bicara ilmu sejengkal. Akan ku nukilkan asal usulnya.  Adapun ilmu sejengkal ini bermulanya ia dari pusat perutmu di jengkal guna jari kananmu.


Mengapa mulanya di pusat perutmu?  Kerana di sana bermulanya kamu. Itulah berpintal tali pusatmu yang dahulunya sambung menyambung kepada ibumu. Tinggal kamu di situ sehingga kiraan waktu, sembilan purnama berada di situ di tempat gelap, di tempat sunyi tetapi Selamat dan kuat maka itu di sebut rahim ibumu. 


Maka adapun begitu maka lihat lah akan pusatmu itulah luka itulah parut yang tiada hilang walau ditaruh seribu obat seribu penawar. Maka tetaplah parut itu sampai tiba ajalmu.


Maka ingatlah wahai anak didik ku maka jangan sekali-kali kamu  menderhakai ibumu. Kerana parut pusat itu  patut mengingatkan kamu setiap hari pada ibumu hatta waktu mandi mu, maka segulung doa dan sedulang Al-Fatihah wajib kau kirimkan pada ibumu. Kerana itu, kamu wahai anak didik ku ,wajib  mentaati ibumu. Kerana itu seru dan perintah dari Allah Tuhan yang satu. 


Maka akan kerana itu bersusur galur pula petua dan ilmu yang lain maka akan tiba ilmu itu di namakan ilmu sarung fatihah ilmu balang dalam balang dan ilmu gerak di dalam bayang. 


Maka bagaimana pula keadaan ibumu maka berpintal bersambung pula dengan ayahmu......."


Bulat mata lendir ku apabila mendengar bicara Pak Ku kali ini, bahasanya seperti bahasa lama tetapi aku masih faham. Sekilas aku menjeling Zaitun di sisi ayahnya tampak dia sedang khusyuk mencatat isi tazkirah ayahnya di Tablet Samsung 10.1 miliknya sesuatu yang aku jarang lakukan ketika mendengar bicara Pak Ku.


"Nampaknya aku kena berlajar sesuatu dari gadis berdarah kacukan Arab-Melayu ini."

HIJAU








Perkataan hari ni HIJAU.

Okey hari ni santai² sahaja.

Lama dulu...waktu Apak mengajar entah macam mana terkeluar cerita tentang warna hijau.

"Kata Apak manusia ini asal kejadiannya daripada tanah"

Ada anak murid apak persoal dia tanya kembali 

"ye ke macam tu cikgu?" 

"Ya kata apak. Disebabkan di bukan Islam mungkin dia tak dapat info ini."

Apak kata

"Kalau kita belajar geografi bab tanah. Keluarga besar jenis tanah ni ada empat, tanah Aluvium, tanah Laterit, tanah pasir  dan tanah gambut.

Dan manusia yang kita jumpa dimuka bumi ini begitulah warnanya. Warna² tanah.

Belum ada lagi kita jumpa manusia bewarna hijau atau biru sebab tak ada tanah bewarna hijau atau biru. Hehehe"

Tambah apak lagi 

"kalau ada pun bukannya manusia normal contohnya Hulk warna dia hijau sebab entah apa binatang lagi dah digabungkan pada manusia sehingga jadilah dia hijau"

"Kah! kah! kah!" 

"Eh! boleh pula mereka ketawa."

Tambah apak lagi

"Haaa ada satu lagi dikalangan bangsa Melayu ada satu makhluk halus yang namanya toyol dan orang Melayu menggambarkan toyol ni bewarna hijau. Entah ke betul entah ke tidak, sebab apak sendiri pun belum pernah berjumpa secara bertentang mata.

Tapi biasanya begitulah makhluk yang disebut toyol ini katanya bewarna hijau, sebab  bukan dari kalangan manusia sebab tu warna dia digambarkan dengan warna hijau"

Hahaha...macam-macam

Sebenarnya hijau ni ada berbagai maksud juga bagi pengkaji ilmu warna, katanya hijau ni kuat cemburu.

Kalau nak relekskan mata lihatlah objek ² hijau seperti pokok².

Akhir sekali warna hijau ini memang ada disebut di dalam Quran. Kalau tak percaya searchlah nanti akan jumpa tentang warna hijau yg disebut dalam Quran.

Akhir kalam inilah Coretan dari perkataan "HIJAU"





13 Julai 2019

MALAM




Sudah lima hari mereka meredah hutan belantara ini sudah hampir tiga gunung mereka daki. Perjalanan untuk kembali ke Kota Larangan bukan semudah yang disangka.

Malam ini sebaik menghidupkan unggun api. Hang Tuah merebah dirinya ke tanah. Matanya galak menatap bintang-bintang  yang bertaburan di dada langit-Indah

Suasana malam itu terasa begitu sunyi. Sesunyi hatinya. Hanya yang kedengaran bunyi-bunyi unggas yang merentasi setiap penjuru hutan, barang kali bunyi itu adalah zikir mereka kepada Yang Maha Mengetahui.

Puteri Ok Soo hanya melihat kosong ke arah Laksamana.

 " Entah apa yang sedang bermain difikiran laksamana itu ya, tuan puteri? Soal Sawol memecah kesunyian malam itu.

"Entahlah", pendek sahaja jawap Puteri OK Soo.

Tiba-tiba Hang Tuah bingkas bangun. Menyebabkan Puteri Oksoo dan Sawol agak terkejut masing-masing memandang kepada Hang Tuah, risau mereka jika ada kejahatan yang tidak disangka.

Namun keadaan kembali tenang apabila mereka melihat Hang Tuah hanya berdiri tegak. Matanya dipejam rapat-wajahnya kelihatan tenang. tangan kanannya di letakkan di atas tangan kiri menutup kawasan pusatnya. Bagai sedang Qiam solat lagaknya

Tiba-tiba Hang Tuah mengangkat tangan separa kepala membawa perlahan tangannya- aliff membelah alam.

Aku berdiri menyongsong angin
Sedia menanti di pintu Ali 
Sesekali menikam ke tulang sulbi 
Tiadalah lut si sidi sakti

Aku seru semangat sakti 
Raja seguntang asal diberi
luk tujuh dilanggir kasturi
kemenyan nan tujuh dibara api

sebelum ajal berpantang mati.

Hang Tuah melangkah kiri mendepa tangan membawa diri tangan dilimbai badan bertari kaki berdiri.

Sawol dalam keadaan hairan berbisik perlahan kepada Puteri OK Soo " Apa yang sedang dilakukan oleh Laksamana?  pelik sahaja tingkah lakunya. Adakah dia sedang menari untuk menghiburkan hati?"

.................

LAUT






LAUT

Baik! Perkataan seterusnya ialah laut. Bila Apak bayangkan laut dalam minda tiba-tiba ada sesuatu yang berlaku. Apak teringat beberapa perkara kaitan al-Quran dan laut, cumanya Apak dah tidak berapa ingat ayat dari surah mana yang membicarakan tentang laut jesteru Apak buka semula buku-buku untuk dirujuk. Ternyata topik laut sangat banyak dan laut tidak terpisah dengan perbincangan mengenai air dan air laut pula tidak terlepas perbincangan dengan ketumpatan garam di dalamnya dan cerita garam sahaja boleh ditulis berhelai muka surat. Sama ada jenis-jenis garam dan kegunaan garam dalam perubatan, kitab-kitab kuning juga ada membiacarakan penggunaan garam ini.


Tapi fokus untuk kali ini hanyalah laut, Apak cuba tulis secara santai walaupun perbincangan dalam buku-buku ini bersifat ilmiah.


Hari ini dengan kecanggihan teknologi yang ada ternyata manusia yang berakal waras tidak dapat menolak kebenaran al-Quran, Benar-benar al-Quran ini kalamullah yang diturunkan oleh Allah yang Maha Mencipta kepada manusia dan jin dan ianya bukaan rekaan Nabi Muhammad saw, Bayangkan pada abad manusia baru menemui teknologi satelit dan teknologi–teknologi lain yang menunjukkan fenomena alam Quran telah lama membicarakan hal itu (1440 tahun hijrah yang lalu.)


Hari ini foto-foto yang diambil melalui satelit dan pemotretan laut membuktikan bahwa laut-laut di dunia tidaklah monostruktur akan tetapi antara satu sama lain mempunyai perbezaan dari segi tahap suhu, kedalaman dan tahap oksigen. Selain itu warna laut juga terdapat pelbagai warna antaranya biru, biru gelap kehitaman dan sebahagiannya berwarna kuning ini berlaku kerana tahap kepanasan yang dikandung oleh tiap-tiap laut.


Foto-foto yang diambil juga menunjukkan ada garis putih tinggi yang memisahkan antara satu laut dengan laut yang lain. Garis inilah yang disebut dengan istilah ‘barzakh’


مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ بَيۡنَهُمَا بَرۡزَخٞ لَّا يَبۡغِيَانِ 

19.  Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
20.  Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

Di bawah ini antara ayat-ayat Quran yang membicarakan tentang laut.


وَهُوَ ٱلَّذِي سَخَّرَ ٱلۡبَحۡرَ لِتَأۡكُلُواْ مِنۡهُ لَحۡمٗا طَرِيّٗا وَتَسۡتَخۡرِجُواْ مِنۡهُ حِلۡيَةٗ تَلۡبَسُونَهَاۖ وَتَرَى ٱلۡفُلۡكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ 

14.  Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.


# Keluasan Lautan
Penlitian ilmiah menunjukkan bahawa dasar laut paling dalam memiliki tekstur yang sama dengan tekstur puncak pergunungan.

# Kekuatan laut


وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِي ٱلۡبَحۡرِ ضَلَّ مَن تَدۡعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُۖ فَلَمَّا نَجَّىٰكُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ أَعۡرَضۡتُمۡۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَٰنُ كَفُورًا 

67.  Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).


Tsunami, inilah perkataan paling tepat bagi menunjukkan kekuatan laut, pernah seseorang yang terlibat dengan bencana tusnami mengatakan badai itu berlalu selama tiga atau empat hari tanpa henti gelombangnya meninggi hingga menyerupai gunung. Laut dan langit bagaikan menyatu tidak ada daratan yang terlihat dan tidak ada ufuk yang kelihatan.


Pada tahun 1987 berlaku satu gelombang besar di Skotlandia yang mampu menolak rantai besi yang seberat 1,700,000 pound pada tahun 1717 di Pelabuhan Bangkok amukan gelombang laut menewaskan 300,000 manusia dan menghancurkan 20 ribu perahu. Begitu juga tsunami yang merempuh Acheh pada tahun 2004 terlalu banyak manusia kehilangan nyawa.


Kegelapan lautan

Allah memberitahu di dalam Quran dalam surah an Nur ayat 40

أَوۡ كَظُلُمَٰتٖ فِي بَحۡرٖ لُّجِّيّٖ يَغۡشَىٰهُ مَوۡجٞ مِّن فَوۡقِهِۦ مَوۡجٞ مِّن فَوۡقِهِۦ سَحَابٞۚ ظُلُمَٰتُۢ بَعۡضُهَا فَوۡقَ بَعۡضٍ إِذَآ أَخۡرَجَ يَدَهُۥ لَمۡ يَكَدۡ يَرَىٰهَاۗ وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورٗا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ 

40.  Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).


# Fakta ilmiah

  •   Adanya arus-arus ganas dalam lautan yang dalam.
  • Para ilmuan berjaya menemukan ikan-ikan yang berada di dalam lautan dalam mempunyai organ-organ  yang boleh bersinar untuk membantu mereka melihat  dalam kegelapan.


Pada abad ke 19 dan 20 sains moden telah menemukan satu fenomena yang menakjubkan dan hanya berlaku di dasar lautan yang gelap gelita.


Ketika mana spektrum cahaya jatuh ke laut dan mencapai kedalaman 
5 meter warna merah akan hilang
Kedalaman 30 meter warna oren akan hilang
Kedalaman 50 meter warna kuning akan hilang
Kedalaman  100 meter warna hijau akan hilang
Kedalaman 200 meter warna biru akan hilang 


Quran menyebutnya ‘gelap-gelita berlapis-lapis’    بَحۡرٖ لُّجِّيّٖ يَغۡشَىٰهُ مَوۡجٞ مِّن فَوۡقِهِۦ

Dan ketika samapai ke dalaman 500 meter warna hitam mula bergerak.


Cukup sekadar sampai di sini  yang dapat Apak coretkan jika nak diceritakan memang begitu banyak lagi dan al-Quran merupakan mukjizat yang masih dapat dilihat hingga kini.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya.











10 Julai 2019

COKLAT




COKLAT



Coklat. Fuh! Apak tahu tentang coklat ni pun tak banyak sangat cuma seingat apak kalau nak beli coklat kena hati-hati takut ada yang non halal. Apak antara manusia yang suka makan coklat ha..ha..ha..ni kalau anak-anak tahu habis apak sebab tu kalau beli coklat sekejap saja habis sebab apak la tukang ‘bedal’ masa mereka pergi sekolah hahahaha!


Berkenaan coklat ni yang apak kata kena hati-hati sebab isteri apak dia memang suka sangat pergi kursus belajar buat kek, buat kuih entah apa kursus masakan lagi dia pergi, biasa apak yang akan jadi supir menghantar dia pergi kursus,  jadi di sanalah dia mendapat info tentang jenis coklat dan coklat-coklat yang boleh dimakan dan yang mana tak boleh dimakan. Tapi kalau kau orang tanya apak apa coklat yang tak boleh dimakan tu, mudah apak jawab kalau ada cop halal memang apak tak ada was-was.


Baiklah apak terus sahaja pada info coklat ni.


Menurut seorang pakar kimia dari Jerman yang bernama Justus Von Liebig coklat ialah sejenis makanan yang sempurna kerana kaya dengan nutrisi tambahan dapat memulihkan tenaga dengan cepat.


Amalan memakan coklat juga boleh merangsang seseorang itu mempunyai emosi yang gembira, emosi gembira sekaligus mengatasi masalah kemurungan ini kerana coklat boleh membantu merembeskan hormon endorfin ke dalam otak.


Coklat pahit (dark coklat) misalnya mempunyai komposisi 70% hingga 80% koko, mengandungi 67% zat besi dan 58% magnesium. Selain itu coklat pahit ini juga dipercayai kaya dengan antioksida seperti flayanol, catechin dan polifenol.


Bukan itu sahaja coklat pahit ini juga dipercayai boleh menjadi “awet muda’ kepada pengamalnya ini kerana kandungan flayanol yang ada di dalam coklat tersebut berupaya merangsang endothelium yang akan menghasilkan nitrik oksida, nitrik oksida ini pula berupaya melambatkan proses penuaan selain merendahkan tekanan dan melancarkan aliran darah.


Namun begitu ada sisi yang perlu diberi perhatian tentang coklat ini. Kepada mereka yang mempunyai anak-anak yang hiperaktif tidak digalakkan malah ada sebahagian doktor tidak membenarkan anak-anak ini diberi minum minuman bercoklat atau makan makana bercoklat ini, kerana kandungan gula yang ada di dalamnya dikhuatiri akan menjadikan anak-anak ini lebih hiperaktif.


Sekadar itu dahulu.

Apak penggemar coklat hehehehe....










































MATAHARI





MATAHARI

Satu ketika dahulu untuk menentukan waktu dhuha orang-orang tua akan katakan "lihatlah matahari dah sepenggalah ke belum jika sudah maka sudah masuklah waktu dhuha"

Zaman sekarang ini jika sebut "matahari sepenggalah" pada anak-anak muda kemungkinan besar ramai yang tidak tahu, bagaimana sepenggalah itu? Namun zaman ini penggunaan waktu dengan pengiraan ilmu Matematik adalah lebih relevan.

Mengikut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di laman sesawang mereka muftin.gov.my ada dua kaedah pengiraan untuk menentukan waktu dhuha telah masuk.


1. Kaedah menentukan waktu Dhuha ialah dengan waktu Syuruk ditolak dengan waktu solat Subuh, kemudian dibahagi tiga dan seterusnya ditambah 15 minit sebagai Ihtiyati (berhati-hati).

Contoh,

Waktu Subuh           :         5.41 pagi

Waktu Syuruk          :         7.04 pagi


7.04 pagi - 5.41 pagi = 123 minit

123 minit ÷ 3 = 41 minit

7.04 pagi + 41 minit = 7.45 pagi

7.45 pagi + 15 minit (Ihtiyati) = 8.00 pagi

Oleh sebab itu, waktu Dhuha adalah jam 8.00 pagi



2. Penentuan waktu Dhuha ialah dengan menambahkan 25 minit lagi selepas waktu  Syuruk.

Contoh,

Waktu Syuruk          :  7.04 pagi

7.04 pagi + 25 minit = 7.29 pagi

Oleh sebab itu, waktu Dhuha adalah jam 7.29 pagi


Waktu Dhuha tamat setengah jam sebelum waktu Zuhur. Apabila membicarakan matahari maka ia juga akan membicarakn tentang waktu dan hari dan salah satu waktu yang utama ialah waktu dhuha. Sehinggakan Allah sendiri telah bersumpah dengan waktu ini, ianya terdapat di dalam surah 'Adh Dhuha'. 


Antara lain yang di ajar kepada kita ialah pada waktu ini ada satu solat sunat yang sangat dituntut iaitu solat sunat Dhuha. Terdapat pelbagai kelebihan jika seseorang melaksanakan solat ini. Hal ini boleh dirujuk  dalam hadis Nabi saw dan ada doa khusus juga yang boleh dibaca pada waktu ini.


Di alam Melayu pula waktu matahari sepenggalah ini juga dijadikan waktu terbaik untuk mendapatkan tumbuhan-tumbuhan herba untuk dijadikan ubat. Jika berkesempatan nanti Apak beri petua ini di dalam entri seterusnya iaitu pada entri Vlog. 

Sekian dahulu.




BUKU






BUKU

Buku...entah sejak bila kecintaan apak kepada mereka ha...ha...ha...Secara  tepat apak tak ingat. (Oh! sebelum itu iznkan saya membahasakan diri saya sebagai apak ya.)

Seingat apak, apak mula jatuh cinta pada buku dan dunia pembacaan bermula daripada sebuah buku novel (nama novel pun apak dah lupa. Lama sangat dah) tapi kisahnya seorang yang akan mati. Wah! sedih betul membacanya sehingga melelehkan air mata. Mujurlah 'orang rumah' tak nampak kalau tidak habislah apak mau dia kata "aiiik pendekar baca novel pun menangis" hahaha...

Bermula dari situ apak mula membaca novel-novel lain mulanya apak baca juga novel-novel cinta ini tapi akhirnya apak sudah meninggalkan tema sebegitu. Apak mula membaca novel-novel sejarah dan thriller antaranya karya Ramlee Awang Mursyid, Faisal Tehrani Pak Latip dan lain-lain.

Hari ini sudah agak lama apak tidak membaca novel, apak mula membaca buku-buku non-fiksyen terutamanya genre agama. Bermula satu isu panas yang viral di Fb berkenaan satu ayat Quran " Arrohmanu alal ar syistawa" Iaitu (Allah) Ar Rahman yang bersamayan di atas Arasy.

Rupa-rupanya perbahasan ini melibatkan isu aqidah dah ianya membawa khilaf pada bahagian syarahnya. Bayangkan hampir tiga bulan apak menelaah isu ini membaca berpuluh buku, blog, artikel dan bertanya para asatizah untuk memahami apa isu besar yang telah berlaku. ting..tong juga mulanya fikiran apak.

Rentetan itu maka bertemulah apak tengah khilaf dikalangan sarjana Islam berkenaan takwil dan tidak menakwil ayat-ayat mutasyabihat, kemdian akan bertemu istilah salaf dan khalaf.

Tidak berakhir di situ isu ini rupanya membawa kepada perbahasan yang lain yang lebih luas, iaitu ilmu feqah. Maka lebih banyaklah perbahasan dan perdebatan yang berlaku dikalangan sarjana Islam. Apak baca...baca...baca dan terus membaca.

Untuk sampai ke tahap ini apak mula sedar ada beberapa perkara yang perlu dilakukan.

1. Membaca perlu keberanian. Membaca dari pelbagai pihak. 
2. Tidak boleh taasub pada mana-mana aliran.
3. Menyantuni setiap perbahasan dan hujah para ulama di sinilah apak mula belajar serba sedikit tentang adab bagaimana berhadapan dengan isu perbezaan pandangan.
4. Bersikap adil terhadap ilmu.

Kini apak sudah mahu keluar dari gelanggang perdebatan ini, sebenarnya ulama silam telah lama menyelesaikan permasalahan ini baki lagi terpulanglah kepada kita pandangan mana yang kita mahu ikuti.

Apa yang apak harapkan berhujahlah dengan matang dan mempunyai dalil dan fakta elakkan daripada menghina, memperlekeh dan membakul sampahkan pandangan orang lain jika kita tidak bersetuju, belajarlah berlapang dada.

Membaca lagi? Ya Insya Allah akan terus membaca lagi dalam pelbagai genre semoga Allah berikan kekuatan dan kesihatan serta kelapangan untuk menuntut ilmu. Amiin.


















Pakaian Tradisional

Sumber Google Baju Melayu Ternyata hari ini baju Melayu yg diubahsuai tidak lagi mencerminkan pemakainya. Malah identiti bangsa itu...