7 Julai 2019

MUSAFIR

 


MUSAFIR



Istana Singgah Maharaja Choson

Hang Jebat mundar mandir di dalam bilik istana singgah maharaja Chosun sesekali dia menyentuh tiang seri yang ada di penjuru bilik tersebut sambil matanya liar memandang sekeliling bilik tersebut.


“Ternyata Maharaja Choson mempunyai kekayaan yang begitu banyak”, gumam Hang Jebat dengan nada perlahan.


Hang Tuah yang dari tadi sedang bersila kemas dianjung bilik istana tersebut hanya menyambut dengan senyuman kepada Hang Jebat apabila Hang Jebat melontarkan kata-katanya.


“Namun kekayaan tanpa aturan yang benar pasti akan mendatangkan kecelakaan, Melaka juga tidak akan terlepas dari bencana tersebut jika Yang Mulia Sultan tidak mengambil pengajaran dari setiap apa yang berlaku di negara-negara lain ini.


“Benar kata mu Jebat, dan kegalauan kau juga sebenarnya  menjadi kerisauan dihati Datuk Bendahara, sudah terdengar di istana sultan ada menteri-menteri yang telah menyalahgunakan kuasa dan menghimpun kekayaan dengan jalan yang salah. Jika Yang Mulia Sultan tidak mengekangnya pasti sesuatu yang buruk akan berlaku”, jawab Hang Tuah sambil menghela nafasnya.

Khali.

“Abang Tuah kita telah lama bermusafir bersama, malah tidak kita sangka kedatangan kita ke negeri lingkaran naga ini untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara Melaka dan China telah mengheret sekali rombongan kita ini dalam kencah politik China dan Choson. Hamba bimbang masalah ini akan membahayakan Melaka suatu hari nanti”, Hang Jebat menyatakan apa yang terbuku dihatinya kepada Hang Tuah.

“Benar katamu Jebat...benar...kita tersepit antara permintaan maharaja China dengan titah sultan namun apa yang kita lakukan ini juga sebenarnya menepati keinginan Baginda Sultan Melaka. Jika kita berjaya menyelesaikan masalah ini hubungan China dan Melaka akan lebih rapat malah yang lebih penting kita dapat meraih kepercayaan maharaja  China dan sudah tentu maharaja Chosun juga akan terhutag budi dengan Yang Mulia Baginda Sultan Melaka”, Jawab Hang Tuah.


Tiba-tiba bilik yang mereka diami itu mengapung bau kemenyan yang harum, pantas Hang Jebat mengalih pandangannya pada Hang Tuah. Ternyata Hang Tuah sedang membakar kemenyan di dalam dupa yang dibawanya. Hang Jebat hanya memerhati perbuatan Hang Tuah dia tahu ini antara amalan yang pernah diajar oleh Pendeta Adiputra satu ketika dahulu dan biasanya jika ada tugas yang penting maka amalan ini akan diamalkan.


Hang Tuah menanggal ‘baju sikapnya’ kemudian diikat kemas kain cindai dipinggang sebagai bengkung. Telapak tangannya ditakup ke atas dupa yang sedang membakar kemenyan, asap kemenyan menampung di atas telapak tangan Hang Tuah dengan perlahan Hang Tuah meraup asap kemenyan itu ke muka dan menyapunya diseluruh tubuhnya yang kekar itu. Diulangi sebanyak tujuh kali. Sambil meraup mulutnya membaca sesuatu.


Selesai memperasap tubuhnya sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya kali ini ada satu serbuk halus bewarna putih yang dilumur dari telapak tangan sehingga ke pangkal siku, sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya dengan kemenyan. Hampir lima belas minit barulah Hang Tuah berhenti.


“Apakah abang Tuah akan bertarung pada esok pagi?" soal Hang Jebat dalam nada gelisah.


"Tidak pasti lagi Jebat, aku hanya mempersiapkan diri untuk esok jika ada geruh yang tidak dapat dielak maka aku hadap dengan persiapan yang ada ini",Jawab Hang Tuah jujur.


"Kalau begitu  esok aku akan menemani abang Tuah, alang-alang kita telah berada di sini jika ada yang mahu menguji, biar kita berdua yang berhadapan dengan segala sengketa"' cadang Hang Jebat.


"Tidak Jebat! Esok hanya aku yang akan ke istana maharaja, katanya maharaja mahu bertemu dengan aku seorang sahaja. Kau harus tetap di sini jangan dilupai titah baginda Sultan jika apa-apa berlaku ke atas aku maka kau yang akan menjadi galang-gantinya"' Jawab Hang Tuah dengan tegas.

Hang Jebat terdiam jiwanya berat untuk membiarkan abang Tuah mengadap maharaja Chosun seorang diri. Tetapi titah baginda Sultan tidak boleh dimungkiri.


"Jangan terlalu banyak berfikir Jebat, Insya Allah tiada apa yang akan berlaku nanti"' Hang Tuah cuba memujuk kegalauan dihati Hang Jebat.


Istana Maharaja Chosun

Jenaral Meng Yi merupakan salah seorang jeneral tua yang telah lama bersara dari dunia peperangan, namun maharaja Chosun sama sekali tidak pernah membuangnya, jika ada perkara-perkara penting yang melibatkan keamanan negara, pasti maharaja akan memanggil jeneral Meng Yi untuk mendapatkan nasihat.

Walaupun kelihatan fizikalnya nampak tidak begitu gagah namun ianya tetap digeruni oleh setiap komander muda mahupun jeneral yang mengetuai angkatan perang sekarang. Ini kerana belum ada di antara mereka yang dapat menguasai kemahiran yang disebut "Pedang Tanpa Darah"

Hanya Jenaral Meng Yi yang dapat menguasai kemahiran itu, dan mereka sendiri pernah meihatnya apabila hampir 20 orang pembunuhan upahan yang membuat serang hendap terhadap rombongan maharaja mati ditangannya. Malah lebih mengagumkan tiada setitis darah yang tersisa dimata pedangnya menunjukkan kepantasan serangan beliau terhadap musuh. Musuh yang baru mula bergerak sahaja tiba-tiba rebah dan mengelupur seperti ayam yang baru disembelih.


Kini dia berdiri gagah di hadapan Laksamana Melayu, dahinya berkerut seribu, hairan menyapa hatinya bagaimana maharaja boleh menaruh kepercayaan kepada laksamana yang baru dikenali ini.

"Apakah hebat benar Laksamana dari Tanah Melayu ini sehingga dihantar ke sini untuk berbakti?"

" Apakah Maharaja China sudah kehilangan pahlawan-pahlawan hebat untuk membantu Maharaja Chosun sehingga menghantar wakil dari Tanah Melayu ini.?"

"Kalau begitu aku akan menguji Laksamana ini", bisik Meng Yi di dalam hati.

Laksamana Hang Tuah masih berdiri sepi dan sunyi....



-------------------------------
Tambahan
1. Kalau Apak rajin Apak cerita tentang kemenyan dan doa yang dibaca Hang Tuah dalam novel nanti. hehehehe

2. Patutnya ada daun sireh terlupa lah pula haahahah....lain kalilah Apak cerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pakaian Tradisional

Sumber Google Baju Melayu Ternyata hari ini baju Melayu yg diubahsuai tidak lagi mencerminkan pemakainya. Malah identiti bangsa itu...